"Dari Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: Setiap sendi tubuh badan manusia menjadi sedekah untuknya pada setiap matahari terbit. Kamu melakukan keadilan di antara dua orang (yang sedang berselisih faham) adalah sedekah, kamu membantu orang menaiki kenderaan atau membantu mengangkat barang-barang ke dalamnya adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah, dan kamu membuang perkara-perkara yang menyakiti di jalan adalah sedekah"
Assalamualaikum tuan-tuan yang mulia. Malam ini, saya ingin bercerita sedikit mengenai sedekah. Harap-harap tuan-tuan yang mulia dapat mengambil sedikit masa membaca sedikit ilmu yang bermanfaat ini, In Shaa Allah.
Masha-Allah tuan-tuan yang mulia, jika kita berpandukan kepada Hadith ini, sebenarnya banyak perkara yang boleh dijadikan sedekah. Malahan, hanya dengan senyum sahaja (yang tidak menimbulkan fitnah) dianggap sebagai satu sedekah. Jadi tuan-tuan yang mulia, marilah kita bersama-sama mengamalkan sedekah. Jika ada wang ringgit, maka bersedekahlah dengannya. Jika ada ilmu, maka bersedekahlah dengannya. Jika ada waktu terluang, bersedekahlah dengannya (dengan cara mengingati Allah dan menceritakan kebesaran Allah kepada orang-orang disekeliling kita).
Apakah fadhilat-fadhilat sedekah? Antaranya, sedekah boleh menjadi penghapus atau kaffarah kepada dosa-dosa kita yang lalu, In Shaa Allah. Selain itu, sedekah juga boleh memurahkan rezeki. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud;
"Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya".(Riwayat Muslim)
Sesetengah ulama' juga ada menyatakan bahawa sedekah boleh menolak bala, serta memanjangkan umur. Jadi kesimpulannya, banyakkanlah bersedekah. Tidak akan rugi orang-orang yang bersedekah, maka akan lebih beruntung.
-Nota kecil, kata mereka, bersedekah kadang-kala boleh hilangkan rasa sakitnya hati, cubalah-